PENUBUHAN
Penubuhan Polis Bantuan adalah mengikut Bahagian IX, Akta Polis, No. 41/67 dan Peraturan-peraturan (Polis Bantuan) Polis 1970 (P.U. (A) 461 bertarikh 21 Disember 1970).
OBJEKTIF
Objektif Penubuhan Polis Bantuan adalah seperti berikut:
· Memberi khidmat Polis ke kawasan-kawasan di mana liputan Polis tidak berkesan
· Membolehkan pengawal-pengawal keselamatan yang bekerja di Jabatan-jabatan kerajaan, Badan-badan Berkanun dan Sektor Swasta mempunyai kuasa-kuasa Polis sera membolehkan mereka membawa senjatapi semasa melaksanakan tugas-tugas di dalam kawasan yang ditentukan.
· Sebagai unit sokongan/bantuan kepada PDRM dalam sesuatu situasi yang diperlukan.
KUASA MELANTIK
Pegawai Kanan Polis Bantuan dari pangkat kehormat Inspektor hingga ke pangkat Superintendan adalah dilantik oleh Ketua Polis Negara dengan persetujuan Menteri Dalam Negeri:
Pegawai Rendah Polis Bantuan dari pangkat kehormat Koperal hingga ke Sub Inspektor atau Konstabel Polis Bantuan adalah dilantik oleh Pegawai Pemerintah yang mana terdiri dari Pesuruhjaya atau Ketua Polis Kontinjen berkenaan, atau mana-mana pegawai polis yang diberi kuasa bagi pihaknya.
· Seseorang pegawai atau anggota Polis Bantuan hendaklah disifatkan berkhidmat dari bulan ke bulan, walau bagaimanapun tempoh perkhidmatan seseorang pegawai atau anggota Polis Bantuan itu adalah tertakluk kepada sebarang perjanjian yang dibuat dengan pihaknya.
PERMOHONAN KUASA-KUASA POLIS BANTUAN
Jabatan-jabatan Kerajaan, Badan-badan Berkanun atau Sektor Swasta yang ingin mendapat kuasa Polis Bantuan untuk pekerja-pekerjanya yang berkhidmat dalam kawasan-kawasan tertentu, akan mengemukakan permohonan kepada Ketua Polis Negara melalui Pesuruhjaya/Ketua Polis yang berkenaan. Pesuruhjaya/Ketua Polis pula kemudiannya akan mengemukakan permohonan tersebut bersama-sama dengan sokongan kepada Ketua Polis Negra (Cawangan Pembantu).
Cawangan Pembantu akan membuat tinjauan khas ke kawasan pemohon untuk mengenal pasti keperluan sebenar kuasa polis yang dipohon sekiranya diperlukan, seterusnya mengemukakan laporan dan permohonan tersebut kepada Ketua Polis Negara atau mana-mana Pegawai Kanan Polis yang diberi kuasa olehnya untuk meluluskan atau memberi bantahan bagi permohonan tersebut.
KUASA DAN TUGAS
Seseorang anggota Polis Bantuan apabila menjalankan tugas-tugas polis dalam kawasan-kawasan yang ditetapkan hendaklah mempunyai kuasa yang sama dan hendaklah tertakluk kepada pihak berkuasa yang sama seperti seseorang pegawai polis yang setaraf pangkatnya.
Semasa melaksanakan tugas bersama-sama pegawai atau anggota polis biasa, pegawai atau anggota Polis Bantuan hendaklah disifatkan lebih rendah dari polis biasa yang sama pangkatnya. Anggota Polis Bantuan adalah ditugaskan dalam kawasan majikannya bagi tugas-tugas polis seperti berikut:-
· Rondaan, bit dan kawalan statik
· Kawalan orang ramai, memeriksa orang dan kenderaan
· Melindungi dan mengiring harta majikan
· Mencegah kesalahan-kesalahan jenayah
· Mengesan dan menangkap pesalah-pesalah
LATIHAN
Pasukan Polis Diraja Malaysia adalah bertanggungjawab memberi latihan polis terhadap anggota-anggota Polis Bantuan. Cawangan Latihan Kontinjen adalah dikehendaki menyediakan segala latihan-latihan asas dan sebarang latihan selanjutnya untuk anggota-anggota Polis Bantuan. Walau bagaimanapun, perbelanjaan untuk tempat tinggal, makanan, pengangkutan, peluru dan peralatan-peralatan lain yang diperlukan semasa latihan tersebut hendaklah ditanggung oleh majikan masing-masing.
Silibus latihan akan disediakan oleh Cawangan Latihan Bukit Aman. Perkara-perkara yang diajar adalah berfokus kepada pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya diketahui oleh pegawai Polis Bantuan berkenaan. Sebagai tambahan, kurikulum latihan yang mempunyai kaitan rapat dengan tugas jabatan-jabatan, Badan-badan atau Syarikat-syarikat berkenaan atau undang-undang yang dikuatkuasakan oleh majikan tersebut hendaklah juga diberi keutamaan.
SENJATA API
Semua pegawai dan konstabel Polis Bantuan yang telah dilantik secara sah, boleh membawa dan menggunakan senjatapi yang dilesenkan di atas nama majikannya semasa menjalankan tugas-tugas rasmi yang diarahkan oleh majikannya dalam kawasan yang ditetapkan.
PAKAIAN SERAGAM DAN LENCANA POLIS BANTUAN
1. Baju
Baju kemeja potongan Polis biasa berlengan pendek atau berlengan panjang sebagai ムpilihanメ. Pegawai berpangkat Sarjan Mejar ke atas boleh memakai ムbush jacketメ sebagai pilihan.
2. Seluar
Seluar Panjang
3. Topi/Songkok/Beret
Tiap-tiap pertubuhan diberi kebebasan memilih satu pakaian menutup kepala samada topi (cap), songkok atau beret.
4. Lencana Topi
Lencana topi Polis Diraja Malaysia hendaklah dipakai dipakaian penutup kepala yang dipilih.
5. Lencana Bahu
Lencana Bahu bertulis ムPolis Bantuanメ dipakai dipangkal lidah bahu baju. Bagi Pegawai Kanan dikecualikan.
6. Lambang Majikan
Lambang majikan ditampal dilengan kiri baju. Lambang tersebut mestilah berukuran 7cm X 9cm dan bertulis POLIS BANTUAN dibahagian atasnya.
7. Tali pinggang
Tali pinggang hitam (web belt) atau tali pinggang kulit hitam. Pegawai Kanan boleh memakai tali pinggang nylon sebagai pilihan.
8. Butang
Butang seperti mana yang dikeluarkan untuk kegunaan pegawai-pegawai dan anggota polis biasa.
9. Kasut
Kasut kulit hitam atau kasut kanvas hitam atau kasut boot canvas hitam.
10. Rantai Wisel
Rantai wisel sebagaimana polis biasa.
11. Stokin
Stokin berwarna hitam.
12. Wisel
Sama seperti bentuk wisel Polis biasa.
13. Apulet
Pegawai Kanan memakai apulet berwarna hitam.
14. Lencana Pangkat
Struktur dan bentuk hendaklah sama dengan Polis biasa. Misalnya Koperal ada dua calit, Inspektor dua paku di atas apulet, ASP tiga paku, DSP satu Mahkota dan Supt, Satu Mahkota dengan satu paku.
15. Lencana
Nombor Polis Bantuan dan tanda nama hendaklah dipakai bagi Anggota Pangkat Rendah dan tanda nama bagi Pegawai Kanan untuk pengenalan seperti mana Polis biasa.
16. Warna baju dan Seluar
Warna baju dan seluar yang telah ditetapkan bagi unit-unit Polis bantuan adalah seperti mana Polis biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan